MIRI: Sarawak akan mengusahakan sendiri rizab minyak di daratan yang masih terdapat di sekitar bahagian Miri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini terutamanya di kawasan Selatan Marudi dan berdasarkan kuasa negeri ini di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958).
"Rizab minyak di daratan masih terdapat di sekitar Bahagian Miri terutama sekitar di Selatan Marudi yang akan diusahakan oleh Sarawak sendiri," katanya berucap sempena Sambutan Hari Lahir Ke 86 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak di Stadium Miri, di sini, hari ini.
Mengenai ekonomi Sarawak, Abang Johari menjelaskan, Sarawak sedang bergerak ke arah menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Melalui pengenalan Ekonomi Digital yang berteraskan data dan inovasi, katanya, beliau yakin Sarawak mampu bergerak pantas untuk mengejar visi ini.
“Sekarang, Sarawak sedang melaksanakan pembangunan infrastruktur secara besar-besaran untuk memudahkan aktiviti ekonomi dan pelaburan. Tanpa jaringan jalan raya yang baik dan efisyen ekonomi negeri ini tidak akan bergerak sepantas yang diinginkan,” katanya.
Abang Johari berkata, pembangunan infrastruktur memerlukan kos besar dan kaedah biasa melalui bajet tahunan tidak akan mampu membiayai kos membina jalan raya dan jambatan yang tinggi.
“Alhamdullilah, melalui pembiayaan alternatif dengan penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), kerajaan dapat melaksanakan program untuk menyediakan infrastrukutur yang penting untuk memacu aktiviti ekonomi negeri ini,” katanya.
Selain itu, Abang Johari berkata, kawasan tanah tinggi di Hulu Baram sesuai bagi tanaman musim sejuk dan merupakan potensi yang harus dibangunkan bagi mengangkat status ekonomi bahagian Miri.
Sumber dari : Jiwa Bakti